- عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ - رضي الله عنه
- قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - يَقُولُ: ((إنَّمَا
الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ- وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى , فَمَنْ
كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ , فَهِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ
وَرَسُولِهِ , وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ
يَتَزَوَّجُهَا , فَهِجْرَتُهُ إلَى مَا هَاجَرَ إلَيْهِ)) .
1. Umar
bin al-Khattab – radhiyallahuanhu – berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: ((Amalan itu dinilai
bertepatan dengan niat-niatnya. Setiap orang memperoleh hasil bersesuaian
dengan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang (niat) hijrahnya kepada Allah dan
utusan-Nya, maka (hasil) hijrahnya adalah kepada Allah dan utusan-Nya. Sesiapa yang
berhijrah kepada dorongan dunia atau wanita yang mahu dikahwini, maka (hasil)
hijrahnya adalah kepada apa yang dia hijrahkan.))
(HR
al-Bukhari: 1, Muslim: 1907)
Ulasan
Pra-Kata
((إنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ)): Perkataan (إنَّمَا) adalah satu perkataan yang istimewa di
dalam bahasa Arab. Apabila ia diguna, maka ia menjadikan perkataan itu kuat dan
teguh. Di dalam hadis ini, perkataan (إنَّمَا) telah menghadkan amalan kepada niat, jika
tiada niat, maka amalan itu tidak ada guna. Istilah lain yang boleh diguna
ialah: tidak dinilai sebarang amalan melainkan dengan kewujudan niat.
((بِالنِّيَّاتِ)): Niat ialah tujuan
sesuatu perbuatan. Tempat bagi niat adalah di hati, bukan pada lidah. Apabila seseorang
mahu melakukan sesuatu perkara, maka dia telah berniat. Di dalam agama Islam,
niat diertikan dengan maksud: berazam melakukan perbuatan ibadah bagi
mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ulasan
Umum Hadis
Hadis
ini sangat penting di dalam agama Islam. Para ulama hadis dan fikah sering
menyebutkan hadis ini di dalam permulaan buku mereka. Ia menunjukkan timbangan
setiap amalan manusia di dunia ini ialah berdasarkan niatnya. Sekiranya amalan
yang dilakukan baik tetapi niatnya jahat, maka dia tidak mendapat kebaikan
sekalipun dengan wajah ceria dan tersenyum. Amalan yang kecil mungkin menjadi
sangat bernialai apabila niatnya sangat baik di sisi Allah.
Niat
yang ikhlas serta amalan yang bertepatan dengan syarak, jika terkumpul di dalam
satu amalan maka akan menghasilkan pahala dan diterima Allah SWT.
Di
dalam satu kisah yang popular, Al-Qadhi Fudhail bin `Iyadh pernah ditanya
tentang tafsir ayat 2 surah al-Mulk,
الَّذِي خَلَقَ
الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً
Dia
lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji kamu:
siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya…
Apakah
yang dimaksudkan dengan “- untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang
lebih baik amalnya…” maka beliau berkata:
أَخْلَصُهُ
وَأَصْوَبُهُ فَإِنَّهُ
إِذَا كَانَ خَالِصًا ولَمْ يَكُنْ صَوَابًا لَمْ يُقْبَلْ وَإِذَا كَانَ صَوَابًا
وَلَمْ يَكُنْ خَالِصًا لَمْ يُقْبَلْ حَتَّى يَكُونَ خَالِصًا وَالْخَالِصُ إِذَا
كَانَ لِلَّهِ وَالصَّوَابُ إِذَا كَانَ عَلَى السُّنَّةِ
Maksudnya
ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Sekiranya ia hanya ikhlas tetapi
amalan tersebut tidak benar, maka ia tidak diterima. Begitu juga jika amalan
itu benar tetapi tidak ikhlas, maka ia tetap tidak diterima sehinggalah ia
menjadi ikhlas. Menjadi ikhlas apabila dilakukan kerana Allah, manakala benar
pula apabila ia bertepatan dengan sunnah.[1]
Niat
juga membezakan antara adat dan ibadat. sebagai contoh, seorang yang mandi
dengan tujuan mengangkat hadas besar telah berniat melakukan ibadat kepada
Allah. Manakala orang yang mandi hanya sekadar untuk membersihkan diri atau
menyejukkan badan, maka dia hanya melakukan perkara adat yang biasa dia lakukan
setiap hari.
Pengajaran
- Islam bukan agama kulit semata-mata. Ia adalah agama yang mementingkan isu luaran dan dalaman. Islam mahu menunjukkan kepentingan aspek rohani dan praktikal secara seiring.
- Tempat bagi niat ialah hati. Tiada tuntutan melafazkannya.
- Perbuatan yang harus dilakukan tanpa ada sebarang tuntutan atau larangan dalam syarak boleh menjadi ibadah apabila dimurnikan niat kerana beribadah kepada Allah.
- Perbuatan yang haram tidak boleh dimurnikan dengan niat yang baik.
- Perbuatan yang baik tidak mendapat pahala serta tidak diterima jika dilakukan tanpa ada keikhlasan.
WallahuA`lam.